Kitab suci agama Kristian terdiri daripada himpunan kitab-kitab yang disebut Bible. Bible mengandungi 66 kitab besar dan kecil yang dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu Perjanjian Lama (Old Testement) dan Perjanjian Baru (New Testement). Perjanjian Lama ialah tulisan-tulisan atau kitab-kitab yang tertulis sebelum kedatangan Isa, manakala Perjanjian Baru ialah tulisan-tulisan yang dihasilkan sesudah kedatangan Isa.
Untuk mengenal kitab Perjanjian Lama, berikut ini disenaraikan 39 naskhah kitab yang terdiri daripada Taurat Nabi Musa, Zabur (Mazmur) Nabi Daud dan kitab nabi-nabi sebelum Isa:
- Kitab Kejadian
- Kitab Keluaran
- Kitab Imamat Orang Lewi
- Kitab Bilangan
- Kitab Ulangan
- Kitab Yusak
- Kitab Hakim-Hakim
- Kitab Rut
- Kitab Samuel I
- Kitab Samuel II
- Kitab Raja-Raja I
- Kitab Raja-Raja II
- Kitab Tawarikh I
- Kitab Tawarikh II
- Kitab Ezra
- Kitab Nehemya
- Kitab Ester
- Kitab Ayub
- Kitab Zabur (Mazmur)
- Kitab Amsal Sulaiman
- Kitab Alkatib
- Kitab Syiru’lasyar
- Kitab Nabi Yesaya
- Kitab Nabi Yermia
- Kitab Nudub Yermia
- Kitab Nabi Yehezkiel
- Kitab Nabi Daniel
- Kitab Nabi Hosea
- Kitab Nabi Yoel
- Kitab Nabi Amos
- Kitab Nabi Obaya
- Kitab Nabi Yunus
- Kitab Nabi Micha
- Kitab Nabi Nahum
- Kitab Nabi Habakuk
- Kitab Nabi Zafanya
- Kitab Nabi Hajai
- Kitab Nabi Zakaria
- Kitab Nabi Malaichi
Perjanjian Baru mengandungi 27 tulisan, iaitu empat buah Injil dan kumpulan surat kiriman termasuk sebelas surat kiriman Paulus. Yang berikut adalah nama kitab-kitab dan risalah-risalah yang menjadi komponen Perjanjian Baru:
- Kitab Injil Matius
- Kitab Injil Markus
- Kitab Injil Lukas
- Kitab Injil Yahya
- Kitab Perbuatan Rasul-Rasul
- Surat Kiriman Paulus kepada Orang Rom
- Surat Kiriman kepada Orang Korintus I
- Surat Kiriman kepada Orang Korintus II
- Surat Kiriman kepada Orang Galatia
- Surat Kiriman kepada Orang Epesus
- Surat Kiriman kepada Orang Epesus
- Surat Kiriman kepada Orang Pilipi
- Surat Kiriman kepada Orang Kolose
- Surat Kiriman kepada Orang Tasalonika I
- Surat Kiriman kepada Orang Tasalonika II
- Surat Kiriman kepada Timotius I
- Surat Kiriman kepada Timotius II
- Surat Kiriman kepada Titus
- Surat Kiriman kepada Pilemon
- Surat Kiriman kepada Orang Ibrani
- Surat Kiriman Yakub
- Surat kiriman daripada Petrus I
- Surat Kiriman daripada Petrus II
- Surat Kiriman daripada Yahya I
- Surat Kiriman daripada Yahya II
- Surat Kiriman daripada Yahya III
- Surat Kiriman Yahuda
- Wahyu kepada Yahya
Sejarah Penulisan Bible
Bible yang ada sekarang telah ditulis dalam tempoh 1 400 tahun, iaitu bermula 1 300 tahun sebelum Masehi bagi Perjanjian Lama hingga 100 tahun selepas Masehi bagi Perjanjian Baru. Keseluruhan Bible ditulis oleh banyak orang sehingga kebanyakannya tidak dapat dikenal lagi. Bible yang ada sekarang merupakan naskhah salinan daripada naskhah asli yang bertulisan tangan yang kini sudah hilang. Oleh itu, isi kandungan naskhah yang asli itu tidak dapat diketahui dengan tepat, manakala kandungan naskhah salinan pula didapati banyak berlawanan antara satu dengan yang lain.
Kitab Perjanjian Lama yang terdapat sekarang datangnya daripada tiga sumber, iaitu naskhah Septuagint dalam bahasa Greek, naskhah Masoretik dalam bahasa Hebrew (Yahudi) dan naskhah Samarithan juga dalam bahasa Hebrew. Naskhah Septuagint merupakan terjemahan daripada naskhah dalam bahasa Yahudi yang sudah lenyap itu. Oleh sebab kitab Perjanjian Lama itu menjadi kitab suci orang-orang Yahudi, maka mereka mengiktiraf naskhah dalam bahasa Yahudi sahaja dan menolak naskhak Septuagint yang diakui sah oleh orang-orang Kristian dengan menganggapnya palsu kerana telah dipinda oleh orang-orang Kristian. Sebaliknya orang-orang Yahudi mengakui naskhah Masoretik, padahal naskhah itu telah lama ditulis selepas naskhah Septuagint.
Kitab Perjanjian Baru tertua yang masih wujud hingga kini ialah naskhah yang ditulis dalam bahasa Greek dalam kurun kelima Masehi. Bagaimanapun kandungannya banyak yang bercanggah. Setengah daripada naskhah tersebut dinamakan Codex Vaticanus dan Ephraemis.
Golongan Mazhab Katholik, iaitu mazahab yang terbesar dalam agama Kristian tidak mengiktiraf kitab Perjanjian Lama yang ditulis dalam bahasa Hebrew (Ibrani) dan kitab Perjanjian Baru yang ada ditulis dalam bahasa Greek kerana dianggap palsu. Sebaliknya mereka menggunakan naskhah lain yang dinamakan Vulgate yang ditulis dalam bahasa Latin. Adapun golongan mazhab Kristian yang lain pula menganggap bahawa naskhah Perjanjian Lama berbahasa Hebrew dan Perjanjian Baru berbahasa Greek sebagai asli dan sah.
Timbul pertanyaan, mengapa golongan Katholik mengiktiraf naskhah Vulgate, sedangkan naskhah itu merupakan naskhah terjemahan, bukan naskhah asli? Naskhah tersebut diterjemah oleh Jerome dalam kurun keempat Masehi daripada naskhah bertulis tangan dalam bahasa Yahudi yang kini sudah hilang. Kandungannya berbeza daripada naskhah Perjanjian Lama yang berbahasa Yahudi yang ada sekarang. Menurut ahli sejarah, sebelum Jerome menterjemah kitab Perjanjian Lama daripada bahasa Yahudi ke bahasa Latin, kitab tersebut telah pun diterjemah ke bahasa Greek oleh orang lain. Tetapi naskhah tersebut yang dinamakan naskhah Septuagint berlainan isinya daripada naskhah Vulgate. Keadaan ini jelas menggambarkan kitab Perjanjian Lama yang dianggap wahyu Tuhan itu sudah hilang keasliannya kerana diubah oleh tangan manusia sendiri.
Pembahagian Kitab Suci
Pada amnya kitab suci Kristian terbahagi kepada tiga, iaitu kanon, apokrip dan pseudegraf. Kanon ertinya kitab-kitab suci yang diakui sah oleh gereja. Manakala apokrip ialah kitab-kitab yang pernah dianggap sebagai kitab suci oleh orang Kristian pada suatu ketika dulu, tetapi tidak diiktiraf oleh gereja dan tidak dianggap kanon. Sementara pseudegraf terhad sebagai kitab suci, tetapi tidak pernah diakui oleh seluruh gereja.
Menurut Dr. D. D. Mulder, kitab-kitab yang termasuk dalam senarai kitab apokrip dan pseudegraf (yang terkenal) adalah sebagaimana berikut:
Kitab Apokrip
- Surat Ezra III
- Kitab Taubat atau Tobias
- Kitab Judit
- Kitab Hikmat Salomo
- Kitab Hikayat Jesus Sirakh
- Surat Baruch
- Kitab Makkabi I
- Kitab Makkabi II
- Kitab Makkabi III
- Doa Manasye
- Kitab Ezra IV
Kitab-Kitab Pseudegraf
- Surat Aristeas
- Kitab Jobel-Jobel
- Mazmur-Mazmur Salomo
- Kitab Makkabi IV
- Kitab-Kitab Sibylla
- Kitab Henoch
- Kitab Mi’raj Musa
- Apokalypse Baruch
- Kitab Testement dari dua belas Patriarch
- Kitab Riwayat Adam dan Hawa
INJIL-INJIL YANG DIAKUI
‘Injil’ ertinya khabar gembira. Dalam bahasa Yunani disebut ‘Enggelion’ dan dalam bahasa Latin disebut ‘Evangelium’. Sebelum pertengahan abad kedua Masehi, umat Kristian cuma berpegang pada kitab Perjanjian Lama sahaja disamping catatan-catatan mengenai ajaran Nabi Isa yang diriwayatkan oleh murid-murid beliau dahulu kala yang banyak tersimpan dalam jemaah Jerusalem, Antiochia, Iskandariah dan lain-lain. Catatan tersebut berbeza antara satu dengan yang lain kerana terpengaruh oleh lingkungan persekitaran.
Pada awal abad yang kedua Masehi barulah timbul keinginan dikalangan pemimpin agama tersebut untuk menyamakan catatan-catatan Injil yang berbeza-beza itu dalam satu kitab suci yang harus diakui sebagai kanon oleh seluruh umat Kristian sebagaimana kitab Perjanjian Lama. Usaha tersebut terpaksa menmepuh jalan rumit kerana setiap jemaah cuba mempertahankan kebenaran yang ada dalam Injil milik mereka dan meragui Injil golongan lain kerana berlainan isinya.
Tetapi akhirnya golongan yang kuat mengatasi golongan yang lemah dan berjaya menentukan keputusan dengan menerima empat buah Injil karangan Matius, Markus, Lukas dan Yahya sebagai Injil yang sah walaupun antara satu dengan yang lain terdapat perbezaan di sana sini. Selain empat buah Injil yang tersebut diatas, mereka juga mengiktiraf surat-surat kiriman Paulus, kitab Kisah Rasul-Rasul karangan Lukas (seorang murid Paulus) dan Kitab Wahyu karangan Yahya sebagai sebahagian daripada kitab Perjanjian Baru.
Injil Matius
Injil ini dibangsakan kepada salah seorang murid Isa bernama Matius yang juga dikenal sebagai ‘Lawi bin Halafi’. Sebelum menjadi pengikut Isa yang kanan, dia bertugas sebagai pemungut cukai di Kafarnahum, daerah Galilea, Palestin.
Terdapat perbezaan pendapat tentang bahasa asal Injil ini. Ada yang mengatakan bahawa Injil ini ditulis dalam bahasa Ibrani (Hebrew) dan ada pendapat yang mengatakan bahawa bahasa asalnya ialah Aramik. Ibnu Petric dan Gerome berpendapat bahawa Injil ini ditulis di Baitul Maqdis dalam bahasa Ibrani untuk dimanfaatkan oleh pengikut-pengikut Isa dari kalangan orang-orang Yahudi. Walaupun wujud perbezaan pendapat tentang bahasa asal Injil ini, namun semuanya sepakat bahawa naskhah ulungnya yang ditemui ditulis dalam bahasa Yunani, tetapi lenyap.
Injil ini merupakan lanjutan daripada Perjanjian Lama dan merupakan yang pertama dalam urutan kumpulan kitab-kitab Perjanjian Baru. Kandungan Injil ini dimulakan dengan memaparkan salasilah keturunan Isa yang menghubungkan beliau dengan Nabi Ibrahim a.s. melalui Nabi Daud a.s. sebagaimana yang terdapat dalam Perjanjian Lama. Injil ini mempunyai kekhususan mengenai ajaran Isa a.s. sebagaimana yang terkandung dalam ‘Khutbah di Bukit’ yang panjang lebar.
Pengkritik-pengkritik Injil menemui banyak kelemahan pada isi Injil Matius hingga mereka meragui ketulenannya. Misalnya dalam Injil tersebut dipaparkan tentang peristiwa hidup semula mayat wali-wali apabila Isa yang mati disalib dan dikebumikan bangkit semula dari kuburnya, kemudian mayat-mayat yang hidup semula itu masuk ke Kota Jerusalem dan dilihat oleh orang ramai.
Soal tarikh penulisan Injil ini juga tidak dapat dipastikan dengan sebenarnya. Menurut Ibnu Patric, Injil ini ditulis pada masa pemerintahan Claudius (41-54 M), manakala seorang penulis Lubnan bernama George Zwen berpendapat bahawa Injil ini ditulis di Jerusalem dalam tahun 39 Masehi, iaitu dengan berdasarkan pendapat Irelimus. Dr. George Post (1838-1909 M) pula berpendapat bahawa Injil Matius ditulis sebelum kehancuran Kota Jerusalem dalam bahasa Yunani.
Perbezaan pendapat tentang tarikh penulisan Injil ini serta bahasa asalnya memberikan suatu gambaran bahawa tarikh sebenar dan bahasa asalnya tidak diketahui dengan tepat. Bagaimana keadaan ini boleh terjadi pada sebuah karya yang dianggap sebagai kitab suci?
Injil Markus
Injil Markus dipercayai yang tertua, tetapi lebih pendek berbanding dengan Injil-Injil rasmi Kristian yang lain. Menurut ahli sejarah, nama penyusun atau penulisnya ialah Yahya yang dipanggil Markus, iaitu murid kepada murid Isa a.s. yang bernama Petrus. Ini bermakna penulis Injil ini bukanlah salah seorang murid Isa yang dua belas. Dia berasal daripada keluarga Yahudi yang menetap di Afrika Utara. Kemudiannya kedua-dua orang tuanya berhijrah ke Palestin dan menetap di Jerusalem.
Seperti Injil-Injil lain, Injil Markus banyak menerima kritikan kerana kelemahannya. Contohnya, R.P. Rouquet mengkritik pengarangnya dengan mengatakan bahawa dia seorang penulis yang kurang pandai bahkan yang paling lemah jika dibandingkan dengan penulis-penulis Injil yang lain kerana tidak pandai menulis hikayat. Dalam beberapa hikayat, ternyata Injil ini berlawanan dengan Injil Matius dan Injil Lukas seperti yang terdapat pada hikayat mengenai alamat Nabi Yunus a.s.
Penulis-penulis Kristian sepakat mengatakan bahawa Injil ini ditulis dalam bahasa Yunani. Menurut George Post dalam bukunya yang berjudul ‘Kamus al-Kitab al-Muqaddas’, bahawa Injil Markus ditulis dalam bahasa Yunani dan beberapa perkataannya dihurai dengan menggunakan bahasa Latin. Penulis Injil ini sebenarnya – menurut Ibn Patric – ialah Petrus, kemudian dinisbahkannya kepada muridnya Markus. Karya tersebut dihasilkan di bandar Rom. Jika pendapat ini benar, maka keadaannya menjadi ganjil dan terbalik kerana lazimnya sesuatu karya penulisan menggunakan nama guru sebagai menghormati sumbangan ilmu yang diberi oleh guru kepada muridnya.
Selain itu, tarikh Injil ini ditulis juga tidak diketahui dengan tepat. Ada yang berpendapat bahawa Injil ini ditulis dalam tahun 56, 60 atau 63 Masehi dan ada yang mengatakan bahawa Injil ini ditulis dalam tahun 61 Masehi. Walaupun Injil ini dianggap kanun secara rasmi, namun dibahagian akhirnya (fasal 16, ayat 9-20) dianggap oleh pengkaji-pengkaji moden sebagai karya tambahan yang bukan diadakan oleh penulis asalnya. Dengan ini Injil Markus hilang keasliannya.
Injil Lukas
Terdapat perbezaan pendapat tentang tempat kelahiran dan bidang kerjaya Lukas, pengarang Injil ini. Ada yang berkata bahawa dia lahir di Antiochia dan ada pula yang berpendapat bahawa dia berketurunan Romawi yang dilahirkan di Itali. Mengenai bidang kerjayanya, dia dikatakan seorang doktor perubatan yang berjaya, tetapi sesetengah ahli sejarah Kristian berpendapat bahawa dia seorang pelukis.
Walau bagaimanapun, suatu penyataan yang tidak dapat diragukan lagi ialah dia seorang murid Paulus dan bukan murid Isa. Dalam risalah Paulus kepada orang Kolose ada menyebut begini;
“Salam untukmu daripada Lukas, tabib yang dikasihi dan juga daripada Demas.”
(Kolose 4 : 14)
Begitu juga dalam Risalah Paulus II kepada Orang Timotius ada disebut;
“Hanya Lukas ada bersamaku”
(Timotius 11, 4 : 11)
Kenyataan ini membuktikan bahawa Lukas adalah seorang murid Paulus. Lukas menulis Injilnya dalam bahasa Yunani dengan menyatakan tujuannya dalam mukaddimah Injil yang bermaksud:
“Ketika ramai orang mencuba mengarang hikayat mengenai hal-hal yang memberikan keyakinan di kalangan kita, bagaimana yang telah diserahkan kepada kita oleh mereka yang semenjak asalnya menyaksikan dengan mata mereka sendiri, serta menjadi pengajar kepada Injil itu, aku juga berpendapat elok bagiku yang telah menyelidiki segala sesuatu semenjak mulanya lagi dengan rapi, menulis untukmu dengan teratur wahai Teopilus yang mulia, supaya kamu mengetahui akan kebenaran kalam (Injil) yang diajarkan kepadamu.”
(Lukas 1 : 1-4)
Daripada ungkapan ayat yang disajikan oleh Lukas, tergambar kemampuannya sebagai seorang penulis yang baik jika dibandingkan dengan Markus.
Tentang tarikh penulisan Injil ini, para penyelidik Kristian sendiri tidak sepakat mengenainya. Menurut Dr. Post, Injil ini ditulis sebelum kehancuran Kota Jerusalem dan sebelum ditulis Kisah Perbuatan Rasul-Rasul. Menurut pendapat yang kuat, Injil ditulis di suatu tempat bernama Kisriah di Palestin, iaitu sewaktu Paulus masih dalam tawanan (58-60 M). Pendapat lain pula mengatakan bahawa Lukas menyusun Injilnya selepas kematian Paterus dan Paulus. Horner pula berpendapat bahawa Injil ini disusun dalam tahun 53 atau 63 atau 64 Masehi.
Tentang isi kandungan Injil ini pula, penulisannya dikatakan berpandukan Injil Markus dan Matius. Menurut Dr. Maurice Bucaille dalam bukunya Bible, Quran dan Sains Moden, hikayat dalam Injil ini banyak bercanggah dengan Injil-Injil lain. Misalnya mengenai masa kenaikan Isa ke langit. Injil ini mengatakan bahawa kejadian tersebut berlaku pada hari Pasah, sedangkan dalam Kisah Perbuatan Rasul-Rasul yang dikatakan ditulis oleh Lukas juga menyebut bahawa peristiwa itu berlaku 40 hari selepas hari Pasah. Percanggahan juga terdapat pada Injil ini dan Injil Matius mengenai salasilah keturunan Isa.
Injil Yahya
Pengarang Injil ini dipertikaikan sama ada Yahya sahabat Nabi Isa a.s. atau Yahya lain. Banyak pengarang Kristian menegaskan Injil ini dikarang oleh Yahya lain dan tidak mempunyai kaitan langsung dengan Yahya sahabat Isa. Dalam Encyclopedia Britannica menerangkan bahawa Injil Yahya adalah palsu kerana penulisnya mempunyai niat untuk menimbulkan penentangan antara kedua-dua orang sahabat Isa a.s., iaitu Yahya dan Matius.
Lama sebelum adanya Encyclopedia Britannica, Injil ini telahpun dinafikan ditulis oleh Yahya sahabat Isa, bagaimanapun murid-murid Yahya sahabat Isa yang masih hidup tidak pernah menyanggah penafian itu. Ada pula yang berpendapat bahawa Injil ini ditulis oleh beberapa orang penulis. Sebagaimana Injil Markus, Injil Yahya juga tidak sunyi daripada tokok tambah penulis-penulis lain seperti yang terdapat pada fasal 21, fasal 4 : 2 dan banyak lagi.
Injil Yahya amat berlainan daripada tiga Injil lain, bahkan dianggap sebagai alam lain oleh pengulas-pengulas Barat. Ketuhanan Isa al-Maseh disebut dengan terang dalam Injil ini. Menurut Yusof al-Dubsi dalam pendahuluan tafsirnya “Min Tuhfat al-Injil” bahawa Yahya mengarang Injilnya pada akhir usianya atas gesaan pendeta-pendeta Kristian di Asia dengan maksud menegaskan ketuhanan Isa al-Maseh yang diingkari oleh beberapa golongan pada zaman itu. Gesaan itu dibuat kerana pada waktu itu belum ada Injil yang menegaskan ketuhanan al-Maseh seperti yang dianuti oleh Paulus dan pengikut-pengikutnya. Ini adalah jelas kerana penyataan tentang ketuhanan al-Maseh tidak terdapat ketiga-tiga Injil lain yang terdahulu, padahal soal ketuhanan adalah perkara asasi yang perlu diutamakan.
Mengapa ketiga-tiga Injil terdahulu (Matius, Markus dan Lukas) tidak menyebut tentang ketuhanan al-Maseh sedangkan perkara itu adalah yang paling pokok? Apakah soal yang amat penting itu sengaja dilupakan oleh pengarang-pengarangnya? Mengapakah dalam Injil Yahya sahaja yang membutirkan ketuhanan al-Maseh dengan jelas? Kemusykilan ini dijawab oleh Ahmad Syalaby dalam bukunya ‘Agama Masehi’ yang berbunyi:
“Adalah tidak mungkin tiga Injil yang pertama itu mengabaikan satu asas yang pada hakikatnya merupakan asas pokok dalam agama mereka, iaitu ketuhanan al-Maseh. Kalau sekiranya ketuhanan itu mempunyai asas dalam agama Masehi, maka tidaklah mungkin diabaikan oleh ketiga-tiga Injil tersebut. Nampaknya keraguan mengenai ketuhanan Isa al-Maseh bukan sahaja wujud dalam penulisan-penulisan ilmiah atau kritikan-kritikan awam, bahkan juga wujud dalam kitab suci Kristian sendiri.”
Perlu dijelaskan di sini bahawa Injil Yahya ditulis menjelang penghujung kurun pertama Masehi dan merupakan yang terakhir daripada empat buah Injil yang diiktiraf oleh gereja Kristian.
Injil-Injil yang Tidak Diakui
Menurut sejarah, tulisan-tulisan yang memuatkan riwayat Isa yang disebut Injil amat banyak, sehingga jumlahnya kira-kira tujuh puluh jenis. Walau bagaimanapun, cuma empat buah sahaja yang diakui sebagai kanun dalam suatu muktamar agama Kristian yang diadakan pada abad keempat, manakala yang lain telah menjadi korban sejarah gereja yang dikenal dengan nama ‘Bacaan-Bacaan Rahsia’ atau ‘Apocrypha Literature’. Senarai Injil-Injil tersebut seperti yang dicatatkan dalam Encyclopedia Britannica jilid 2 adalah seperti yang berikut:
Injil-Injil (Gospels)
1. Fayum Gospel Fragment
(Fragment Injil Fayum)
2. Gospel According to the Egyptions
(Injil Orang Mesir)
3. Protevangel of James
(Injil Jakobus)
4. Gospel of According to the Hebrews
(Injil Ibrani)
5. Gospel of Peter
(Injil Petrus)
6. Gospel of Thomas
(Injil Thomas)
7. Gospel of the Twelve
(Injil Dua Belas)
Injil-Injil Lain
1. Gospel of Andrews
(Injil Andrew)
2. Gospel of Apeles
(Injil Apeles)
3. Gospel of Barnabas
(Injil Barnaba)
4. Gospel of Barthelomov
(Injil Barthelomeus)
5. Gospel of Basilides
(Injil Basilides)
6. Gospel of Abinites
(Injil Ebienia)
7. Gospel of Eve
(Injil Eva)
8. Gospel of James The Less
(Injil Jakobus Kecil)
9. Wisdom of Jesus Christ
(Ajaran Isa al-Maseh)
10. Apocryph of John
(Rahsia daripada Yahya)
11. Gospel of Judas Iscariot
(Injil Judas Iskariot)
12. Evangelium Vivum
(Injil Hidup)
13. Gospel of Marcion
(Injil Marcion)
14. Descent of Mary
(Keturunan Mariam)
15. Questions of Mary
(Pertanyaan-Pertanyaan daripada Mariam)
16. Gospel of Mary
(Injil Mariam)
17. Gospel of Matthias
(Injil Matthias)
18. Gospel of Perfection
(Injil Kesempurnaan)
19. Gospel of Philip
(Injil Philip)
20. Gospel of Thaddaeus
(Injil Thaddaeus)
21. Gospel of Thomas
(Injil Thomas)
22. Gospel of Truth
(Injil Kebenaran)
Erti Injil Bagi Orang Kristian
Menurut kepercayaan orang-orang Kristian, Isa tidak menerima wahyu daripada Tuhan seperti Nabi-nabi dan Rasul-rasul yang lain kerana mereka mengatakan bahawa beliau sendiri memberikan wahyu kepada Rasul-rasulnya yang dilantik menjadi rasul secara misteri. Ini bermakna, kedatangan Isa ke bumi ini tidak membawa kitab Injil (khabar gembira), sebab tubuh beliau sendirilah ‘khabar gembira’ yang dimaksudkan itu.
Adapun perkataan ‘Injil’ yang diajar oleh Isa seperti yang banyak disebut dalam Bible, bukanlah membawa erti sebuah kitab yang diwahyukan Tuhan, tetapi pada hakikatnya perkataan itu merupakan suatu perkhabaran gembira perihal Allah yang mengurniakan anak-Nya yang tunggal untuk dikorbankan bagi menebus dosa manusia di samping membimbing mereka ke arah keselamatan dan kehidupan yang kekal. Jadi jika ada pengajaran Isa yang mengajak manusia supaya beriman kepada Injil, maka maksudnya supaya mereka beriman kepada ‘khabar gembira’ dan ‘khabar keselamatan’ yang keluar dari mulut Tuhan sendiri yang menjelma menjadi manusia. Demikianlah kepercayaan umat Kristian.
Adapun Injil-Injil yang ditulis oleh Matius, Lukas dan Yahya serta surat-surat kiriman yang ditulis oleh Paulus, semuanya itu ditulis dengan ilham Ruhulkudus dan dianggap tulisan wahyu sebagaimana kitab-kitab suci yang lain juga.
Persoalan yang timbul, adakah kepercayaan orang-orang Kristian seperti yang disebut itu tidak bercanggah dengan doktrin agama mereka sendiri sedangkan dalam Injil banyak ayat yang menunjukkanbahawa Isa menerima firman Tuhan untuk mengajar kaum Bani Israel? Antara ayat tersebut berbunyi:
a) Dalam Injil Yahya, fasal 7 ayat 14-16 berbunyi:
“Dan manakala tiba di pertengahan hari raya, masuklah Isa ke dalam Haikal lalu mengajar. Maka hairanlah orang-orang Yahudi seraya berkata: “Bagaimana orang ini boleh memahami kitab-kitab padahal dia tidak belajar?” Jawab Isa kepada mereka katanya: “Pengajaranku bukan daripadaku, bahkan datang daripada orang yang mengutusku.”
b) Dalam Injil Yahya, fasal 17 ayat 6-8 berbunyi:
“Aku telah menyatakan namaku kepada orang yang telah Engkau serahkan daripada dunia ini. Mereka itu adalah milikMu, lalu Engkau serahkan mereka itu kepadaku, dan mereka telah menurut firmanMu. Dan sekarang mereka mengetahui bahawa segala sesuatu yang Engkau berikan kepadaku itu adalah datangnya dari sisi Engkau. Kerana segala firman yang Engkau berikan kepadaku telah aku sampaikan kepada mereka dan mereka telah pun menerimanya dan mengetahui dengan sebenarnya bahawa aku datangnya dari sisi Engkau, dan mereka percaya bahawa Engkau sesungguhnya telah mengutusku.”
c) Dalam Injil Yahya fasal 12 ayat 49 berbunyi:
“Kerana aku berkata bukan dengan kehendakku, akan tetapi atas kehendak Bapa yang mengutusku, Dia yang telah memberikan aku wasiat apa yang patut aku kerjakan dan mereka percaya bahawa Engkau sesungguhnya telah mengutusku.”
Ayat-ayat lain yang menerangkan hal yang sama dapat ditemui dalam Injil Yahya fasal 12 ayat 50, fasal 14 ayat 23-24, fasal 17 ayat 14, Injil Markus fasal 2 ayat 2 dan banyak lagi. Mafhum daripada ayat-ayat tersebut, Isa cuma mengajar manusia apa yang difirmankan oleh Allah kepadanya. Tugas ini nampaknya sama seperti Rasul-rasul yang diutus oleh Allah sebelum beliau, iaitu menerima wahyu daripada Allah melalui Ruhulkudus (malaikat Jibril) dan mengajar apa yang diwahyukan itu kepada umat manusia.
Leave a Reply